21 August 2011

MAJLIS PELANCARAN SKIM RONDAAN SUKARELA (SRS)


20 Ogos 2011 ,Sabtu



KRT Taman Samudera A Fasa 1 (TSAF1) sekali mengukir sejarah dengan melancarkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) pada tanggal 20 Ogos 2011, Sabtu di kawasan perkarangan parkir Surau Al Izzah. Walaupun majlis pelancaran ini diadakan pada bulan Ramadhan , namun kehadiran penduduk TSAF1 seramai lebih 80 orang tetap memeriahkan majlis pada petang tersebut .


Majlis Pelancaran SRS ini telah disempurnakan oleh tetamu kehormat ,

Y.Bhg. Puan Salasiah bt Hashim, Pegawai Perpaduan Daerah Gombak dan juga 
Y.Bhg ASP Mohamad Zain , Ketua Zon Selayang,PDRM Ketua Bahagian Narkotik mewakili Ketua Polis Daerah Gombak.


Aturcara dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zool Amali dan diikuti dengan ucapan aluan oleh Pengerusi KRT TSAF1, Lt.Kol.Mohd Yusoff Sadri. Sebagai tanda pelancaran SRS, tetamu kehormat telah menyampaian peralatan SRS kepada 50 orang SRS yang hadir.



Antara tetamu kehormat yang hadir - Pn Salasiah (PPD Gombak)
& ASP Mohamad Zain (PDRM)
ASP Mohamad Zain sedang menyampaikan Cotar Rotan kepada Pengerusi KRT



Tetamu yang hadir dalam Majlis Pelancaran SRS

Antara tetamu yang turut hadir
Gambar beramai-ramai anggota SRS bersama tetamu kehormat

Persiapan tempat majlis pelancaran dibuat secara gotong royong

Anggota SRS begitu segak dengan pakaian seragam sedia untuk berkhidmat...Syabas!!!


Untuk makluman semua ,Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah suatu skim yang dipohon oleh pemastautin sukarelawan di bawah Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga (1975), Pindaan 1988.
Skim ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga yang bertindak sebagai Jawatankuasa Skim, manakala rondaan dilaksanakan oleh tidak kurang dari 20 pemastautin sukarelawan yang memohon untuk melaksanakan rondaan di sebahagian atau di seluruh kawasan Rukun Tetangga.
Skim Rondaan Sukarela dijangka menjadi tulang belakang bagi program serta aktiviti Rukun Tetangga kerana ia boleh mencegah kejadian dan gejala sosial negatif di samping dapat merapatkan hubungan Rukun Tetangga dengan penduduk setempat.




18 August 2011

MESYUARAT PERSIAPAN PELANCARAN SRS

18 Ogos 2011,Khamis

Mesyuarat bagi membincangkan persiapan Majlis Pelancaran SRS telah diadakan pada 17 Ogos 2011,mulai jam 10.15 malam, bertempat di perkarangan surau Al-Izzah. Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengerusi KRT, Lt.Kol Mohd Yusoff Sadri . Kehadiran AJK KRT dan juga ahli KRT berjumlah 35 orang.

Antara perkara-perkara yang telah dibincang serta diputuskan dalam mesyuarat ialah:

  1. Majlis Pelancaran SRS akan diadakan pada 20 Ogos 2011, Sabtu , jam 5.00petang di perkarangan Surau Al-Izzah.( Pada hari berkenaan juga merupakan Program Berbuka Perdana Surau Al-Izzah)
  2. VIP yang akan hadir : Timbalan OCPD Balai Polis daerah Gombak dan juga Pegawai Perpaduan Daerah Gombak
  3. Untuk tujuan majlis pelancaran, seramai 60 orang ahli SRS (20 orang dari setiap Zon A, B & C) telah dipilih untuk berbaris dan menerima peralatan dari VIP jemputan.
  4. Jadual Petugas Rondaan akan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu Pasukan Wanita, Pasukan Veteran dan juga Pasukan Utama.
  5. Satu majlis penerangan khas khusus mengenai perlaksanaan SRS akan diadakan dalam masa terdekat.
  6. Aturcara Majlis Pelancaran SRS adalah sepeti berikut :
  • 4.35ptg  - Solat Asar  di Surau Al-Izzah
  • 5.00 ptg - Tetamu mengambil tempat
  •               - Bacaan Doa
  •               - Ucapan Aluan Pengerusi
  •               - Penyampaian Peralatan kepada Ahli SRS oleh Timbalan OCPD dan PPD
  •               - Penyampaian Cenderahati
  •               - Majlis Bersurai
Semua penduduk TSAF1 adalah dijemput menghadiri Majlis Pelancaran SRS ini sebagai tanda sokongan serta permuafakatan.

Wassalam..


08 August 2011

LANGKAH KESELAMATAN SERTA TINDAKAN BERJAGA-JAGA SEKIRANYA BERLAKU PERKARA YANG MENCURIGAKAN DI TAMAN KITA

Isnin, 8 Ogos 2011


Tuan/Puan yang dihormati,


Sejak kebelakangan ini, kejadian pecah rumah seringkali berlaku Taman kita . Ianya kini di tahap yang amat membimbangkan dan sebagai langkah berjaga-jaga, berikut disampaikan sedikit panduan/tips yang boleh dilaksanakan oleh tuan/puan sendiri .



Panduan meninggalkan rumah pada bila-bila masa




Meninggalkan rumah bila bercuti panjang sudah menjadi kelaziman, apatah lagi pada Hari Raya. Jika anda bercadang untuk bercuti, pastikan rumah anda selamat untuk ditinggalkan. Pencuri hanya memerlukan beberapa minit untuk memecah rumah. Dua hari di hujung minggu adalah lebih dari cukup untuk penjenayah memecah masuk.
Berikut adalah beberapa peringatan sebelum meninggalkan rumah untuk bercuti:
• Berbaik-baiklah dengan jiran. Beritahu jiran anda berapa lama anda akan meninggalkan rumah. Bertukarlah nombor telefon. Berikan kunci pendua kepada kawan atau jiran yang dipercayai. Minta mereka mengawasi atau meninjau keselamatan rumah sepanjang ketiadaan anda.
• Untuk keselamatan tambahan, sesetengah Balai Polis atau Pusat Rukun Tetangga juga menggalakkan anda melaporkan kepada mereka sebelum meninggalkan rumah.
• Pasangkan lampu halaman atau lampu keselamatan untuk mengelirukan penceroboh. Sebaik-baiknya gunakan lampu automatik yang boleh dinyalakan bila hari gelap. Buka sedikit langsir pintu dan tingkap supaya kelihatan seperti ada orang di rumah.
• Tangguhkan sementara langganan akhbar, roti dsb. Longgokan akhbar atau bungkusan makanan di halaman atau di pintu pagar menandakan rumah tiada penghuni. Juga, jangan lupa bawa masuk semua pakaian di jemuran. Kasut, selipar dan sebagainya lebih baik dibiarkan berselerak supaya kelihatan seperti ada orang di rumah.
• Jika rumah anda mempunyai lebih dari satu kereta, kereta kedua boleh digunakan untuk mengelirukan penceroboh. Bagaimanapun, pastikan ia ditinggalkan dalam keadaan berkunci, termasuk kunci stereng/gear.
• Tanggalkan talian telefon rumah untuk mengelakkan telefon berdering tidak dijawab. Sebaik-baiknya sediakan peti pesanan suara tetapi jangan sekali-kali memberitahu anda tiada di rumah.
• Simpan atau sembunyikan semua barang berharga di tempat yang selamat. Sebaik-baiknya jangan tinggalkan barang-barang kemas atau wang tunai.
• Tanggalkan paip gas dari dapur. Padamkan sebarang pelita, lilin, lampu minyak, ubat nyamuk dan sebagainya.
• Tutup semua suis dan palam elektrik yang tidak diperlukan
• Sebelum meninggalkan rumah, pastikan semua pintu, tingkap, jeriji dan pagar dikunci. Periksa dua kali atau lebih, supaya anda dapat meninggalkan rumah dengan hati yang tenang dan yakin.