28 Disember 2012, Jumaat
Alhamdulillah, HK TSAF1 2012 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Selasa 25 Disember 2012 bertempat di
Teratak Tuk-Tuk Kg Sum-Sum Hilir Janda Baik. Program yang julung-julung kali diadakan bagi komuniti TSAF1 ini telah disertai oleh lebih dari 150 orang dan ianya merupakan proram anjuran bersama di antara KRT TSAF1 dengan Surau Al-'Izzah .
Aktiviti yang dirancang telah berjalan dengan baik dan melibatkan penyertaan semua peringkat umur, kanak-kanak, remaja, wanita dan orang dewasa.Tahniah dan terimakasih kepada semua AJK yang bertungkus lumus bagi menjayakan HK2012 ini. Juga kepada semua keluarga yang hadir memberi sokongan dan kerjasama yang baik serta mengambil bahagian dalam semua acara yang diadakan. Ribuan terimakasih juga diucapkan kepada tuan rumah, En Idris dan keluarga yang mengizinkan tempat beliau sebagai lokasi HK2012. Satu tempat yang cukup menarik dan amat sesuai untuk program seperti ini. Dengan izin allah swt juga, kita diberi kesempatan untuk berehat dan meluangkan masa bersama-sama, jauh dari masalah taman, kesibukan harian dan tugasan pejabat.
Tema "Free Palestine" juga telah dipilih sempena HK2012 ini kerana kita berpendapat walaupun kita bergembira masalah yang menimpa umat sejagat sentiasa didalam hati dan fikiran kita. Seperti yang kita tahu KRT TSAF1 akan sentiasa merancang aktiviti-aktiviti berteras “Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian” diharap aktiviti seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan kemesraan di antara semua warga TSAF1 melalui pelbagai program yang diaturkan pada hari kelurga.
Acara-acara bersifat sukaneka yang melibatkan semua peringkat warga TSAF1 sesungguhnya memberikan impak yang positif ke arah pengukuhan dan pemantapan semangat toleransi serta mampu mencetuskan perasaan kasih sayang sesama jiran dan semangat kekeluargaan yang lebih tinggi.
Untuk tahun ini, kita hanya dapat mengadakan hari keluarga yang ringkas, walaupun begitu penyertaan yang cukup memberangsangkan bagi program yang pertama kali diadakan dengan notis makluman yang singkat ini membawa petunjuk yang amatlah positif. Aktiviti ini dapat membina keakraban yang lebih kukuh di kalangan Penduduk Taman Samudera A Fasa 1 dan saling mengenali anggota keluarga yang hidup berjiran. Justeru, amat wajarlah aktiviti ini dilaksanakan pada setiap tahun mendatang.
Penganjuran HK2012 yang sudah pun diadakan bagi menutupi tirai 2012 adalah salah satu usaha untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Gejala sosial yang berlaku pada hari ini semakin membimbangkan semua pihak. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak termasuk diri saya supaya meluangkan masa bersama keluarga. Dengan cara ini, hubungan kekeluargaan akan bertambah erat. Saya percaya bahawa hubungan akrab yang terjalin erat di antara semua dan suasana harmoni yang sedia wujud di TSAF1 ini akan memudahkan pelaksanaan program KRTTSAF1 yang telah dirancang dan dijadualkan dalam takwim tahunan 2013. Perlu diingatkan bahawa bagi mencapai matlamat KRT bukanlah satu perkara mudah. Apatah lagi untuk mengekalkan perpaduan yang sedia dikecapi. Akan tetapi ia bukan pula satu perkara mustahil untuk diperolehinya.
Setiap warga TSAF1 juga perlu menanamkan semangat kerjasama yang padu dan bersatu hati dalam menyokong aktiviti-aktiviti KRT TSAF1. Nilai-nilai ini disokong dengan visi, dan strategi-strategi KRTTSAF1 yang jelas dan mempunyai fokus.Semangat kekeluargaan bukan sahaja perlu diterapkan di rumah tetapi juga di seluruh taman. Dengan adanya semangat kekeluargaan, kekitaan dan keakraban di kalangan warga TSAF1, secara tidak langsung ianya dapat melahirkan sikap prihatin, saling hormat- menghormati, bertolak ansur,dan meraikan perbedaan sesama kita.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa di atas kejayaan dalam menganjurkan hari keluarga pada tahun ini. Semoga acara begini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.
Puteri Ledang pergi ke gua
Pulang ke istana pagi ini
Membudayakan Perpaduan tugas semua
Meraikan Kepelbagaian membawa harmoni
Selamat Tahun Baru 2013.
Lt Kol Mohd Yusoff Sadri